7 Mac 2026
HIDANGAN TANPA API: ÇIĞ KÖFTE
Ketika zaman aku berkelana di bumi Turkiye, aku pernah dihidangkan satu jenis hidangan jalanan semacam simit, poğaça dan durum yang mana ia sangat mudah didapati.
Tetapi ada satu hidangan jalanan ini yang aku sungguh kesal kerana lewat meminatinya. Hidangan tersebut adalah çiğ köfte yang mana ia juga turut mudah dijumpai terutama di pusat bandar.
Çiğ köfte, masa sampai dulu aku kalau boleh nak elak makan ia. Tetapi bila hendak pulang teridam-idam pula.
Ketika itu pada 2018 beli satu set hanya 10TL dan dalam set itu ada beberapa ulas çiğ köfte, sebatang jeruk timun, sebatang timun, tomato suku biji, lemon suku biji serta sebekas sos pati delima.
Apa dia çiğ köfte ini?
Dari sudut bahasa, Çiğ bermaksud mentah, dan Köfte bermaksud bebola daging. Nama ini mencerminkan asal-usulnya yang menggunakan daging mentah.
Setelah buat kajian ringkas, snek jalanan Turki ini rupanya mempunyai sejarah yang begitu mendalam, bermula di bumi Mesopotamia ketika zaman Nabi Ibrahim a.s dan Raja Namrud.
Menurut cerita rakyat yang popular di Sanliurfa, tenggara Turkiye hidangan ini tercipta ketika Namrud arahkan rakyat dilarang menyalakan api untuk memasak bagi mengumpul semua kayu api untuk membakar Nabi Ibrahim a.s.
Dalam keadaan itu, seorang isteri pemburu terpaksa berikhtiar untuk memberi makan keluarganya. Dia mengambil daging rusa mentah, lalu ditumbuk halus dan dicampur dengan bulgur, lada cili, dan pelbagai rempah ratus.
Adunan ini kemudian diuli lama-lama sehingga "masak" secara semula jadi melalui haba geseran tangan dan tindak balas asid daripada rempah. Itulah permulaan kepada çiğ köfte.
Selama berabad-abad, çiğ köfte dimakan secara mentah. Namun bermula sekitar tahun 2000-an, kerajaan Turki telah mengharamkan penjualan versi daging mentah di premis komersial atas faktor keselamatan makanan.
Langkah ini secara tidak langsung melahirkan versi vegetarian sepenuhnya menggunakan bulgur. Versi ini lebih diterima orang ramai kerana ia lebih sihat, tahan lama, dan sedia dimakan oleh sesiapa sahaja.
Untuk menyediakannya di rumah, anda hanya perlu:
Merendam 2 cawan bulgur halus dalam 1.5 cawan air panas sehingga kembang (dalam 15-20 minit).
Uli bersama 2 sudu besar pes tomato, 2 sudu besar pes cili, 1 biji bawang sudah diparut, 1/2 cawan minyak zaitun, 1/2 biji perahan lemon, dan 3-4 sudu besar sos delima (pomegranate molasses).
Jangan lupa masukkan rempah penting seperti garam, lada hitam, jintan putih dan serbuk cili untuk rasa yang autentik.
Uli adunan sehingga menjadi tekstur lembut seakan doh. Gunakan sarung tangan plastik (untuk elak pijar tangan).
Tips: Kalau rasa kering, tambah minyak zaitun atau sos delima sedikit demi sedikit. Uli sampai menjadi tekstur seperti "playdough" yang boleh dibentuk.
Maka terhidanglah çiğ köfte. Nikmati keunikan rasa pedas dan masam ini dengan cara membalutnya di dalam daun salad segar bersama daun pudina serta perahan lemon tambahan untuk kepuasan maksima.