Pide, bila ia masak dalam ketuhar batu itu terasa sungguh tradisinya. Rangup arang-arang pada kerak manakala lembut berjus di tengahnya menimbulkan rasa autentik hidangan tersebut.
(Gambar janaan kecerdasan buatan)
Pide, bila ia masak dalam ketuhar batu itu terasa sungguh tradisinya. Rangup arang-arang pada kerak manakala lembut berjus di tengahnya menimbulkan rasa autentik hidangan tersebut.
(Gambar janaan kecerdasan buatan)
7 April 2026
PIDE: PIZA "SAMPAN" UNIK DARI TURKI
Genap sebulan lepas, aku telah cerita mengenai hidangan yang aku kesal kerana lewat meminatinya iaitu çiğ köfte di artikel sini. Hari ini aku akan cerita tentang salah satu hidangan yang aku minat ketika perkelanaanku di bumi Turki
Pide.
Piza unik yang berasal Turki. Mempunyai sejarah yang lama dan berakar umbi daripada tradisi roti rata di wilayah Anatolia sejak zaman empayar lagi. Nama Pide sebenarnya berkongsi akar etimologi yang sama dengan kata "Pita".
Pide ada pelbagai jenis. Pide yang umum jumpa di kebanyakan restoran adalah karışık (campur), kaşarlı (keju), yumurtalı (telur), kıymalı (daging cincang), dan kuşbaşılı (daging potong).
Harga pide pada masa perkelanaanku (2016-2018) dalam julat harga 8TL sehingga 20TL bergantung kepada saiz hidangan dan kuantiti inti yang dihidangkan
Kenapa dia berbentuk sampan?
Bentuknya yang sampan itu direka secara tradisional bagi memudahkan inti daging atau keju diletakkan di tengah tanpa tumpah ketika ia dibakar dalam ketuhar batu yang sangat panas.
Untuk menyediakan pide daging cincang di rumah, mulakan dengan inti:
Campurkan 300g daging kisar, 1 biji bawang merah dan 1 biji tomato yang dikisar, 1 biji cili hijau yang telah dipotong, 1 mangkuk parsley yang telah dicincang, serta 1 sudu teh pes tomato atau cili.
Perasakan dengan 1 sudu teh cili emping, 1 sudu teh serbuk cili, dan 1 sudu makan garam,
Kemudian uli rata dan biarkan perap.
Untuk dohnya yang lembut:
Bancuh 1 cawan air suam bersama 2 sudu teh yis dan 2 sudu teh gula,
Kemudian campurkan dengan 1 cawan yogurt, 6 sudu makan minyak, dan 1 sudu teh garam
Adun bersama 3 cawan tepung gandum, tuang gandum sedikit demi sedikit ketika menguli sehingga doh tak melekat kat tangan.
Perap doh selama sejam sehingga naik lalu gilingkan ia menjadi bentuk lonjong, letakkan inti di tengah, dan lipat bahagian tepinya supaya membentuk seakan-akan sebuah sampan.
Akhir sekali, bakar di dalam ketuhar pada suhu 200°C selama 15 hingga 20 minit sehingga garing keemasan untuk dinikmati panas-panas.